General Line

+603-7872 3000

Emergency Line

+603-7787 9999

WhatsApp

+603-7872 3100

Search
Close this search box.

Luahan Tentang Cabaran & Ganjaran Kerjaya Dari Kaca Mata Seorang Jururawat

Menurut salah seorang jururawat iaitu Nureen, setiap pesakit mempunyai pelbagai latar belakang berbeza. Ada dalam kalangan pesakit berasa segan untuk menceritakan keadaan kesihatan mereka.

Walaupun seorang jururawat menempuh pelbagai cabaran dan rintangan, namun profesion murni ini memberi seribu satu ganjaran. Bagi Nureen Syauqina Haniff, 23, seharian di tempat kerja bermakna dia perlu memberi komitmen lebih 10 jam.

Pada masa yang sama, kerjayanya memerlukan dirinya kekal fokus biarpun penat.

Nureen bertugas di Assunta Integrated Social Services (ASSISS) iaitu sebuah badan kebajikan di bawah seliaan Hospital Assunta.

Sebagai seorang jururawat di organisasi ini, tugasannya agak mencabar kerana dia memberikan khidmat kesihatan asas kepada yang tinggal di kawasan luar bandar. Tugasan Nureen termasuklah memantau pesakit yang menghidap diabetes dan hipertensi.

“Pesakit terdiri daripada golongan ibu atau bapa tunggal. Kebiasaannya golongan ibu tunggal akan meminta ubat tambahan kerana mereka mempunyai kesukaran untuk dapatkan ubat tersebut.” – Nureen Syauqina Haniff

Pada asalnya, Nureen bercita-cita untuk menjadi seorang guru namun ibunya mempunyai pandangan berbeza. Ibunya mencadangkan kepadanya untuk menjadi seorang jururawat.

Nureen menyahut cadangan ibunya sekali gus membuat permohonan ke Program Diploma Kejururawatan di Kolej Kejururawatan Tun Tan Cheng Lock, Hospital Assunta.

Nureen teruja apabila diterima masuk oleh kolej bagi melanjutkan pengajian dalam bidang ini. Dia juga mengambil masa beberapa bulan untuk menyesuaikan diri dengan dunia kejururawatan. Profesion ini memerlukan ketabahan, kesabaran dan kecekalan. Nureen akui bahawa kerjaya ini turut memberi impak dari segi emosi.

“Setiap pesakit mempunyai pelbagai latar belakang berbeza. Ada dalam kalangan pesakit berasa segan untuk menceritakan keadaan kesihatan mereka. Ada kalanya, sewaktu kami memberi rawatan, mereka berkongsi suara dan perasaan yang terbuku di hati. Mereka ingin bersembang. Mungkin juga kerana mereka berasa sunyi. Selain itu, ahli keluarga mereka tinggal jauh di bandar. Pengalaman ini memberi seribu satu makna kerana ianya menjadi panduan kepada saya untuk menjadi seorang yang lebih penyabar dan peka terhadap apa yang mereka perlukan. Oleh sebab itu, saya mula jatuh cinta dengan dunia kejururawatan. Saya suka menolong orang. Dengan kerjaya ini saya boleh melakukan perkara tersebut.” – Nureen Syauqina Haniff

Nureen mengetahui kewujudan ASSISS ini daripada rakannya yang telah menduduki sesi temuduga untuk bekerja dengan badan amal itu.

“Saya berasa teruja apabila mengetahui perkhidmatan yang ditawarkan oleh ASSISS seperti penjagaan paliatif dan balutan luka kepada pesakit yang terlantar di rumah atau tidak mampu ke hospital (atas faktor kewangan dan kesukaran untuk bergerak bagi mendapatkan rawatan).” – Nureen Syauqina Haniff

Selepas beberapa bulan terlibat dengan ASSISS, Nureen dapat belajar pelbagai perkara. Biarpun berasa penat fizikal dan mental, dia bagaimanapun berasa gembira kerana dapat menabur khidmat bakti kepada komuniti.

“Walaupun kami selalu bekerja di bawah cuaca yang panas, masyarakat setempat mengalu-alukan kedatangan kami. Mereka sering kali menyediakan menyediakan makanan dan minuman atas jasa baik memberi khidmat kesihatan. Seronok rasanya apabila dapat berbakti kepada mereka yang memerlukan.” – Nureen Syauqina Haniff

Pengalaman Kendali Khidmat Klinik Bergerak Percuma

Nureen mengimbau kembali detik cemas yang berlaku dalam sebuah perkampungan di mana mereka menyediakan khidmat klinik bergerak percuma.

Seorang penduduk kampung datang dengan penuh rasa berdebar dan takut. Ada seorang penduduk kampung rebah, tidak sedarkan diri dan memerlukan rawatan segera.

Nureen Syauqina Haniff, seorang jururawat di Assunta Integrated Social Services (ASSISS) iaitu sebuah badan kebajikan di bawah seliaan Hospital Assunta.

“Seorang lelaki berlari ke arah kami. Ketika itu, kami sedang melayan dan merawat pesakit di klinik bergerak. Lelaki tersebut (dalam keadaan takut, gemuruh dan berdebar-debar) memberitahu ada orang kena serangan jantung.” – Nureen Syauqina Haniff

Selepas mendapat maklumat tersebut, Nureen membuat panggilan ambulans.

Sementara menunggu pasukan ambulans tiba, Nureen melakukan CPR (Resusitasi Kardiopulmonari), suatu prosedur kecemasan yang dilakukan melalui tekanan dada dan hembusan nafas bagi mengembalikan aliran darah dan pernafasan kepada seseorang yang jantungnya berhenti berdegup.

Nureen dan rakan sekerja memberikan bantuan CPR sehabis baik untuk menyelamatkan nyawa. Walau bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu perubatan ambulans.

Tiffany Chen Koh Lin (25 tahun) adalah seorang jururawat di ASSISS. Dia telah menjadi seorang jururawat selama empat (4) tahun. Walaupun begitu, dia merasakan masih banyak lagi perkara yang perlu dipelajari daripada rakan sekerjanya.

Nureen Syauqina Haniff (kanan) dan Tiffany Chen Koh Lin (kiri), jururawat di Assunta Integrated Social Services (ASSISS) iaitu sebuah badan kebajikan di bawah seliaan Hospital Assunta

“Pernah pada suatu ketika, saya mempunyai rasa gementar dan takut untuk memegang, mendukung dan mengendong bayi baru lahir. Hal ini demikian kerana saya merasakan mereka adalah fragile. Sungguhpun begitu, saya berjaya mengatasi ketakutan saya melalui latihan saya di sini.” – Tiffany Chen Koh Lin

Untuk rekod, Hospital Assunta adalah sebuah hospital yang mengguna pakai konsep teras keusahawanan sosial dalam operasinya. 50% keuntungan hospital digunakan untuk penambahbaikan infrastruktur, peralatan, teknologi dan operasi, manakala 50% lagi disalurkan kepada ASSISS, dengan objektif yang utuh dan jelas iaitu untuk menawarkan perkhidmayan kesihatan percuma kepada golongan kurang bernasib baik, golongan berpendapatan rendah dan komuniti yang memerlukan.

Untuk maklumat lanjut mengenai ASSISS: https://www.assunta.com.my/assiss/

Sumber: https://www.therakyatpost.com/trpbm/gaya-hidup/2023/07/12/luahan-tentang-cabaran-ganjaran-kerjaya-dari-kaca-mata-seorang-jururawat/