PETALING JAYA, 14 MAC: Usaha Hospital Assunta menyediakan pusat obstetrik dan ginekologi yang lengkap dengan kemudahan adalah tindakan tepat, kata EXCO Kesihatan Awam.
Jamaliah Jamaluddin berkata pusat yang dilengkapi farmasi, kaunter bayaran dan berhampiran dengan tempat letak kereta itu memudahkan pesakit khususnya ibu menjalani pemeriksaan.
“Pusat obstetrik dan ginekologi yang kini dijadikan ‘one stop centre’ sangat bagus kerana dilengkapi kaunter bayaran, kemudahan mengambil ubat dan parkir.
“Ini langkah bagus, memudahkan pesakit kerana mereka perlu melalui banyak proses terutama bagi ibu hamil,” katanya ditemui selepas merasmikan pusat obstetrik dan ginekologi Hospital Assunta di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Assunta Wilson Choo berkata pihaknya mengambil inisiatif itu dengan menjadikannya pusat sehenti berikutan menitikberatkan isu kesihatan wanita terutama ibu hamil.
“Ibu hamil yang mahu menjalani pemeriksaan boleh terus meletakkan kereta di aras empat di tingkat sama dengan pusat ini sebelum terus membuat pendaftaran dan berjumpa pakar.
“Selepas itu mereka boleh mengambil ubat di farmasi di aras sama. Pengurusan ini adalah bagi memudahkan sekali gus memberi keselesaan kepada pesakit,” katanya.
Source: https://selangorkini.my/2024/03/pusat-sehenti-obstetrik-ginekologi-hospital-assunta-mudahkan-ibu-jalani-rawatan/
Selangor Kini, 14th March 2024.